Bulan Mei akan tiba tak lama lagi. Bulan Mei adalah bulan kelahiran
Kimi. Mengimbau kembali kelahiran Kimi atau nama sebenarnya Mohammad Hakimi bin
Mohammad Razman lahir pada 23 Mei 2009. Kelahirannya sentiasa dinantikan oleh
saya suami isteri pada masa itu. Pada perancangannya Kimi nak dilahirkan di
Hospital Slim River, tempat kami membesar. Tapi disebabkan dia susah nak keluar
dan ketiadaan pakar di hospital tersebut, emaknya terpaksa dihantar ke Hospital
Teluk Intan menaiki ambulance dan selepas Maghrib Kimi selamat dilahirkan
secara normal. Berat Kimi masa lahir 4.01kg, boleh dikatakan luar biasa besar.
Jadi, dia dimasukkan ke wad bayi. Di situlah Kimi diazankan, bermulalah
kehidupan sebagai seorang ayah. Dalam hati ini saya berjanji untuk memberikan
kebahagiaan untuk Kimi selagi hayat ini masih ada.
Sewaktu Kimi dilahirkan saya
masih lagi belajar di UTM, isteri saya pada masa itu kerja shift siang dan
malam. Hidup susah pada masa tu hanya menyewa di rumah kecil dan saya berulang
KL-JB hampir setiap minggu. Kimi dihantar ke taska 24 jam semasa emaknya
bekerja. Orang yang paling susah, emaknya bila kerja malam, siang terpaksa
menjaga Kimi sebelum pergi kerja lagi malamnya. Tetapi Allah maha adil, anak
yang dikurniakannya tak banyak ragam dan mudah dijaga. Masih ingat lagi bila
kali pertama tengok Kimi ketawa bila diacah, terasa proses memberi kebahagiaan
tu sudah bermula dan tawa Kimi yang pertama tu adalah kebahagiaan pertama yang
saya berikan.
Kimi membesar dengan cepat, dia
cerdik dan cepat belajar. Pernah jugak dia meragam sampai saya hilang sabar,
tapi bila terkenang janji saya padanya saya rasa menyesal yang amat sangat. Kimi
banyak mengajar saya erti kesabaran, dan saya bersabar dengan kerenahnya pada masa yang
sama saya perlu tegas dan tak terlalu manjakannya.
Pada usia 3 tahun Kimi diuji
dengan berat sekali bila family kami bergolak. Hancur hati melihat anak sekecil
dan sebaik ini menerima ujian seberat ini. Saya cuba sedaya upaya menyelamatkan keadaan tapi terpaksa akur pada Qada’ dan Qadar. Kesian Kimi… terlalu muda untuk hadapi semua ni. tapi abah tetap dengan janji abah dan Kimi tetap anak abah sampai
bila-bila walau apa yang berlaku. Selamat Hari Jadi Sayang…
Visit to my personal blog
www.cialah.blogspot.com