Tuesday, September 25, 2012

Lelaki dan Air Mata

Menangis sering dikaitkan dengan perempuan sebab perempuan je yang selalu menangis. Lelaki takkan menangis walau macam mana pun sebab lelaki menangis selalunya dianggap lemah, tak macho, lembik dan sebagainya. Betul ke begitu? Sedangkan lelaki juga adalah adalah manusia biasa yang dikurniakan oleh Allah S.W.T dengan perasaan dan emosi. Dan Allah S.W.T tidak akan menjadikan air mata untuk lelaki kalau ianya sia-sia. Sebagai seorang lelaki, pada pendapat saya lelaki menangis mesti ada sebab yang sangat kukuh, seperti:
  • Kematian – Terutama sekali kematian orang yang paling disayangi seperti ibu bapa, adik beradik, isteri atau anak.
  • Kegagalan – Biasanya kegagalan mempertahankan rumahtangga yang bersusah payah dibina tetapi akhirnya hancur begitu sahaja.
  • Kasihan – Tak sanggup melihat orang yang tersayang tersiksa kesakitan, sedangkan tak ada apa yang mampu dilakukan selain dari berdoa dan tawakkal.
  • Kejayaan – Tangisan gembira seperti menimang cahaya mata yang pertama, ataupun pertama kali melihat anak yang dibesarkan ketawa yang melambangkan kejayaannya membesarkan anak dalam keadaan yang sempurna.



Dari sudut sains pula, apa yang berlaku apabila kita menitiskan air mata?

  • Air mata sangat berguna kepada deria penglihatan kita kerana ia membasahkan bebola mata dan melancarkan aktiviti buka dan tutup kelopak mata. Ia juga membersihkan bebola mata.
  • Kerap menangis boleh mengurangkan risiko penyakit darah tinggi, menurunkan suhu badan dan meredakan nadi yang berdenyut terlalu laju.
  • Dalam air mata terdapat sejenis hormon iaitu ACTH (Adrenocortocotropic Hormone) yang memangkinkan tekanan perasaan. Apabila hormon ini dikeluarkan dari badan, kita akan merasa lega, puas dan lebih tenang.
  • Menangis menyebabkan toksin dalam badan dikeluarkan melalui air mata, seperti musin, lipid, laktoferin, lipokalin, lakritin, imunoglobin, glukos, urea, garam dan kalium.
  • Perbuatan memendamkan perasaan dan menahan diri dari menangis boleh mendatangkan kesan negative kepada diri sendiri.



Dari sudut agama pula, manusia tidak kira lelaki atau perempuan memang dituntut untuk menangis dan menitiskan air mata kerana perasaan takut kepada Allah S.W.T sepertimana sabda Rasullullah S.A.W:
“Bahawa tidak akan masuk neraka orang menangis kerana takut kepada Allah sehingga ada air susu yang mengalir ke tempat asalnya”.


Saturday, September 22, 2012

Kesan Kesan Buruk Perceraian


Di masa kini perceraian dipandang sebagai sesuatu yang biasa, standard, mudah dan normal. Malah ia menjadi seperti gaya hidup masyarakat masa kini.

Memang benar perceraian adalah sesuatu yang dibolehkan dalam Islam, tapi ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah S.W.T. Ini kerana perceraian boleh membawa berbagai-bagai kesan buruk kepada suami, isteri dan paling teruk kepada anak-anak pasangan tersebut. Kesan baiknya pula boleh dikatakan hampir tiada…

Berikut adalah antara kesan buruk perceraian daripada pemikiran dan pembacaan saya. Semoga dapat memanfaatkan pembaca blog ini dan diri saya sendiri. Semoga kita semua dijauhkan dari malapetaka ini.

Suami/Isteri:

Emosi terganggu dengan perbagai-bagai perasaan negatif seperti jiwa tak tenteram, mudah marah, sedih, hilang semangat, serba salah, murung, rendah diri, bimbang, putus asa, kecewa dan kesepian. Gangguan emosi ini bukan sahaja akan mengganggu pasangan ini malah individu di sekitarnya. Ia mungkin dialami oleh salah seorang dari pasangan atau kedua-duanya sekali. Sebagai contoh, jika suami berlaku curang dan mempunyai hubungan dengan perempuan lain lalu menceraikan isterinya, biasanya si isteri akan mengalami gangguan emosi yang lebih sedangkan si suami mungkin akan lebih gembira dengan pasangan baru. Begitu juga sebaliknya. Menjadi lebih gembira atau tidak dengan pasangan baru, itu adalah ketentuan Allah S.W.T. Oleh itu berfikirlah sedalam dalamnya sebelum bercerai.

Tanggungjawab bertambah terutama bagi pasangan yang telah mempunyai anak. Anak akan dijaga oleh salah seorang dari pasangan atau mungkin juga akan dibahagi kepada suami dan isteri. Apapun, tanggungjawab akan bertambah kerana si suami atau isteri yang menjaga anak terpaksa menjadi ibu dan juga ayah kepada anak tersebut. Si suami perlu melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak dan membasuh disamping mendidik anak-anak. Manakala si isteri perlu bekerja untuk mencari nafkah untuk membesarkan anak tanpa suami. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika anak ramai dan dijaga oleh salah seorang sahaja. Salah seorang akan menderita manakala pasangannya berbahagia hidup seperti orang bujang, dan mencari pasangan baru.

Beban kewangan berikutan tanggungjawab yang bertambah. Pasangan yang bercerai terpaksa menyara diri sendiri dan juga anak. Pasangan yang menjaga anak terpaksa mengupah pengasuh untuk menjaga anak sewaktu dia mencari nafkah. Kos pengasuh akan bertambah dengan bilangan anak. Beban kewangan ini juga menyukarkan pasangan terutamanya suami untuk mencari pengganti kerana untuk berkahwin memerlukan kos yang tinggi pada masa kini. Tambahan pula kebarangkalian untuk mendapat wanita yang boleh menerima duda beranak sebagai suami adalah sangat sedikit.

Perlu mencari nafkah sendiri bagi isteri yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada suami. Keadaan bertambah teruk jika anak-anak juga dijaga oleh si isteri.

Anak:

Kehilangan kasih sayang daripada ibu atau bapa. Amat sedih kerana kebanyakan perceraian berlaku kepada pasangan yang berkahwin kurang dari lima tahun dan mempunyai anak yang masih kecil. Anak-anak ini masih belum mengerti erti kehilangan tetapi terpaksa melaluinya. Bayangkan betapa sedihnya apabila anak anak ini bertanya di mana ibu atau ayahnya atau menyatakan kerinduan apabila lama tak berjumpa. Memang betul, ibu atau ayahnya boleh datang sekali sekala untuk melawat anak anak, namun adakah ini mencukupi? Anak-anak memerlukan kasih sayang ibu dan bapa setiap hari. Jika hanya bersua sekali seminggu atau sebulan, samalah seperti hubungan ibu saudara dengan anak saudaranya. Perlu diingat kasih sayang seorang ibu tidak sama dengan kasih sayang seorang bapa, begitu juga sebaliknya kerana ibu dan bapa saling melengkapi antara satu sama lain. Satu lagi kesiapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang bercerai ialah menyerahkan anak kepada ibu bapa di kampung. Ini bukan sahaja membebankan ibu bapa yang sudah tua di kampung malah merenggangkan hubungan anak dengan ibu bapanya. Anak-anak akan terasa terabai dan hilang rasa hormat pada ibu dan bapanya dan lebih menghormati datuk dan neneknya. Apabila datuk dan neneknya meninggal dunia, apa akan terjadi pada anak ini? Fikirkanlah…

Anak-anak terpaksa berpisah dengan adik beradik jika hak penjagaan anak-anak terpaksa dibahagikan. Ambil contoh pasangan yang mempunyai dua orang anak, setelah mereka bercerai dan setiap seorang mengambil seorang anak. Nampak seperti adil dan sama rata dari segi beban dan tanggungjawab, namun sebenarnya tidak bagi anak anak ini. Mereka akan merasa kekurangan kerana selama ini masing masing mempunyai teman untuk bermain dan bergurau di rumah. Jika pasangan ini berkahwin dengan pasangan baru, dan dikurniakan anak sekalipun tidak akan dapat mengganti adik beradik seibu sebapa kerana hubungan adik beradik tiri tidak sama dengan hubungan adik beradik kandung.
Emosi tertekan dengan teruk dan dihantui rasa bersalah, malu, tak selamat dan kurang keyakinan. Tekanan emosi ini boleh membawa kesan negatif kepada anak-anak ini sepanjang hayatnya terutama perasaan rendah diri kerana mereka merasakan mereka berbeza dari kawan kawan yang lain kerana kawan kawannya semuanya mempunyai ibu dan bapa. Ini menyebabkan mereka kurang yakin dalam setiap perbuatan mereka dan merosot dalam pelajaran. Banyak kajian telah dijalankan oleh pakar kanak-kanak di luar Negara mendapati kanak-kanak dari pasangan bercerai lebih cenderung untuk terlibat dalam aktiviti negatif dan kurang berjaya dalam pelajaran. Ini bukanlah suatu doa atau sumpahan tetapi ini membuktikan kanak-kanak dari pasangan bercerai memerlukan perhatian yang lebih dan rapi beranding kanak-kanak biasa.

Hilang tumpuan dalam pelajaran kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan segala perubahan dalam hidupnya. Kanak-kanak yang telah bersekolah telah faham erti kehilangan dan tentunya akan merasa sedih dan hiba apabila ibu atau ayahnya tidak bersamanya lagi. Ini membuatkan mereka menjadi murung, menyendiri dan tidak mesra. Mereka juga akan merasa tiada tempat untuk mengadu jika dimarahi oleh ayah atau ibu yang menjaga mereka. Masalah seperti ini boleh menyebabkan anak anak hilang fokus terhadap pelajaran.

Menunjukkan tabiat dan sikap yang negatif. Rumahtangga yang huru hara menyebabkan kanak-kanak menjadi cepat marah dan melepaskan perasaan marahnya dengan perubahan sikap yang medadak menjadi degil dan panas baran. Kanak-kanak yang masih kecil dan prasekolah akan menjadi takut untuk mengharungi kehidupan tanpa ayahnya dan rindu belaian manja dari seorang ibu. Manakala yang remaja pula akan menjadi kecewa dan merasakan diri mereka tidak disayangi. Ini mendorong mereka untuk mencari ketenangan dengan berfoya-foya, merokok dan terdedah dengan pengaruh yang tidak sihat. Ini boleh mendorong mereka kepada aktiviti sosial yang lebih negatif seperti ponteng sekolah, bohsia dan dadah. Kurangnya pemantauan dari ibu atau bapa menyebabkan mereka lebih bebas dan sukar dikawal.
Kurang perhatian dari ibu atau bapa kerana ibu atau bapa yang menjaga mereka terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan. Adakalanya ibu atau bapa terpaksa mencari pekerjaan sampingan kerana pendapatan yang tidak mencukupi menyebabkan masa mereka untuk bersama anak-anak menjadi lebih sedikit. Anak-anak ini akan menjadi lebih terabai dan kurang mendapat kasih sayang dari ibu atau bapa yang menjaganya menyebabkan anak-anak ini akan cuba mencari keseronokan di luar.

Perceraian juga membawa beberapa kesan buruk kepada pasangan yang bercerai seperti, merasa malu dengan masyarakat, terpaksa menanggung cucu jika pasangan yang bercerai tidak mampu menjaga anak seorang diri dan sebagainya.

Adakah perceraian ada membawa kesan yang baik? Mungkin juga ada jika kedua dua pihak tidak dapat menerima antara satu sama lain dan asyik bergaduh setiap kali bertemu dan boleh menyebabkan tekanan perasaan terhadap pasangan dan anak-anak. Namun bukankah lebih baik menyelesaikan masalah ini dengan saling bermaafan dan menerima kekurangan pasangan masing-masing? Kerana tekanan perasaan tetap akan dilalui oleh anak-anak jika perceraian berlaku. Kekurangan setiap insan boleh dibaiki kerana tiada apa yang mustahil untuk diubah. Cinta boleh dipupuk, tanggungjawab pada anak-anak janganlah ditinggalkan.

Perceraian bukanlah matlamat perkahwinan, ia tidak sepatutnya ada dalam kamus hidup pasangan suami isteri. Jika hari perkahwinan dirai dengan gilang gemilang, perceraian sepatutnya menjadi suatu malapetaka yang maha dahsyat dan bukanlah suatu yang biasa dan mudah.

Sesungguhnya Allah S.W.T telah berfirman,
“Dan jika seorang wanita melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, maka tiada berdosa keduanya, jika keduanya mengadakan perdamaian antara keduanya. Berdamai itulah terlebih baik daripada bercerai. Memang manusia itu bersifat kikir. Jika kamu berbuat baik kepada isterimu dan bertaqwa, sungguh Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah An-Nisa´: 128)

Renugkanlah…