Di masa kini perceraian dipandang sebagai sesuatu yang biasa,
standard, mudah dan normal. Malah ia menjadi seperti gaya hidup masyarakat masa
kini.
Memang benar perceraian adalah sesuatu yang dibolehkan dalam
Islam, tapi ia adalah perkara halal yang paling dibenci oleh Allah S.W.T. Ini
kerana perceraian boleh membawa berbagai-bagai kesan buruk kepada suami, isteri
dan paling teruk kepada anak-anak pasangan tersebut. Kesan baiknya pula boleh
dikatakan hampir tiada…
Berikut adalah antara kesan buruk perceraian daripada
pemikiran dan pembacaan saya. Semoga dapat memanfaatkan pembaca blog ini dan
diri saya sendiri. Semoga kita semua dijauhkan dari malapetaka ini.
Suami/Isteri:
Emosi terganggu dengan
perbagai-bagai perasaan negatif seperti jiwa tak tenteram, mudah marah, sedih,
hilang semangat, serba salah, murung, rendah diri, bimbang, putus asa, kecewa
dan kesepian. Gangguan emosi ini bukan sahaja akan mengganggu pasangan ini
malah individu di sekitarnya. Ia mungkin dialami oleh salah seorang dari
pasangan atau kedua-duanya sekali. Sebagai contoh, jika suami berlaku curang
dan mempunyai hubungan dengan perempuan lain lalu menceraikan isterinya,
biasanya si isteri akan mengalami gangguan emosi yang lebih sedangkan si suami mungkin
akan lebih gembira dengan pasangan baru. Begitu juga sebaliknya. Menjadi lebih
gembira atau tidak dengan pasangan baru, itu adalah ketentuan Allah S.W.T. Oleh
itu berfikirlah sedalam dalamnya sebelum bercerai.
Tanggungjawab bertambah
terutama bagi pasangan yang telah mempunyai anak. Anak akan dijaga oleh salah
seorang dari pasangan atau mungkin juga akan dibahagi kepada suami dan isteri.
Apapun, tanggungjawab akan bertambah kerana si suami atau isteri yang menjaga
anak terpaksa menjadi ibu dan juga ayah kepada anak tersebut. Si suami perlu
melakukan kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak dan membasuh disamping
mendidik anak-anak. Manakala si isteri perlu bekerja untuk mencari nafkah untuk
membesarkan anak tanpa suami. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika anak ramai
dan dijaga oleh salah seorang sahaja. Salah seorang akan menderita manakala
pasangannya berbahagia hidup seperti orang bujang, dan mencari pasangan baru.
Beban kewangan berikutan
tanggungjawab yang bertambah. Pasangan yang bercerai terpaksa menyara diri
sendiri dan juga anak. Pasangan yang menjaga anak terpaksa mengupah pengasuh
untuk menjaga anak sewaktu dia mencari nafkah. Kos pengasuh akan bertambah
dengan bilangan anak. Beban kewangan ini juga menyukarkan pasangan terutamanya
suami untuk mencari pengganti kerana untuk berkahwin memerlukan kos yang tinggi
pada masa kini. Tambahan pula kebarangkalian untuk mendapat wanita yang boleh
menerima duda beranak sebagai suami adalah sangat sedikit.
Perlu mencari nafkah sendiri bagi isteri yang selama ini bergantung sepenuhnya kepada
suami. Keadaan bertambah teruk jika anak-anak juga dijaga oleh si isteri.
Anak:
Kehilangan kasih sayang daripada
ibu atau bapa. Amat sedih kerana kebanyakan perceraian berlaku kepada pasangan
yang berkahwin kurang dari lima tahun dan mempunyai anak yang masih kecil.
Anak-anak ini masih belum mengerti erti kehilangan tetapi terpaksa melaluinya.
Bayangkan betapa sedihnya apabila anak anak ini bertanya di mana ibu atau
ayahnya atau menyatakan kerinduan apabila lama tak berjumpa. Memang betul, ibu
atau ayahnya boleh datang sekali sekala untuk melawat anak anak, namun adakah
ini mencukupi? Anak-anak memerlukan kasih sayang ibu dan bapa setiap hari. Jika
hanya bersua sekali seminggu atau sebulan, samalah seperti hubungan ibu saudara
dengan anak saudaranya. Perlu diingat kasih sayang seorang ibu tidak sama
dengan kasih sayang seorang bapa, begitu juga sebaliknya kerana ibu dan bapa
saling melengkapi antara satu sama lain. Satu lagi kesiapan yang sering
dilakukan oleh pasangan yang bercerai ialah menyerahkan anak kepada ibu bapa di
kampung. Ini bukan sahaja membebankan ibu bapa yang sudah tua di kampung malah
merenggangkan hubungan anak dengan ibu bapanya. Anak-anak akan terasa terabai
dan hilang rasa hormat pada ibu dan bapanya dan lebih menghormati datuk dan
neneknya. Apabila datuk dan neneknya meninggal dunia, apa akan terjadi pada
anak ini? Fikirkanlah…
Anak-anak terpaksa berpisah dengan adik beradik
jika hak penjagaan anak-anak terpaksa dibahagikan. Ambil contoh pasangan yang
mempunyai dua orang anak, setelah mereka bercerai dan setiap seorang mengambil
seorang anak. Nampak seperti adil dan sama rata dari segi beban dan
tanggungjawab, namun sebenarnya tidak bagi anak anak ini. Mereka akan merasa
kekurangan kerana selama ini masing masing mempunyai teman untuk bermain dan
bergurau di rumah. Jika pasangan ini berkahwin dengan pasangan baru, dan
dikurniakan anak sekalipun tidak akan dapat mengganti adik beradik seibu sebapa
kerana hubungan adik beradik tiri tidak sama dengan hubungan adik beradik
kandung.
Emosi tertekan dengan teruk
dan dihantui rasa bersalah, malu, tak selamat dan kurang keyakinan. Tekanan
emosi ini boleh membawa kesan negatif kepada anak-anak ini sepanjang hayatnya
terutama perasaan rendah diri kerana mereka merasakan mereka berbeza dari kawan
kawan yang lain kerana kawan kawannya semuanya mempunyai ibu dan bapa. Ini
menyebabkan mereka kurang yakin dalam setiap perbuatan mereka dan merosot dalam
pelajaran. Banyak kajian telah dijalankan oleh pakar kanak-kanak di luar Negara
mendapati kanak-kanak dari pasangan bercerai lebih cenderung untuk terlibat
dalam aktiviti negatif dan kurang berjaya dalam pelajaran. Ini bukanlah suatu
doa atau sumpahan tetapi ini membuktikan kanak-kanak dari pasangan bercerai
memerlukan perhatian yang lebih dan rapi beranding kanak-kanak biasa.
Hilang tumpuan dalam pelajaran kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan segala perubahan
dalam hidupnya. Kanak-kanak yang telah bersekolah telah faham erti kehilangan
dan tentunya akan merasa sedih dan hiba apabila ibu atau ayahnya tidak
bersamanya lagi. Ini membuatkan mereka menjadi murung, menyendiri dan tidak
mesra. Mereka juga akan merasa tiada tempat untuk mengadu jika dimarahi oleh
ayah atau ibu yang menjaga mereka. Masalah seperti ini boleh menyebabkan anak
anak hilang fokus terhadap pelajaran.
Menunjukkan tabiat dan sikap yang negatif. Rumahtangga yang huru hara menyebabkan kanak-kanak menjadi
cepat marah dan melepaskan perasaan marahnya dengan perubahan sikap yang
medadak menjadi degil dan panas baran. Kanak-kanak yang masih kecil dan
prasekolah akan menjadi takut untuk mengharungi kehidupan tanpa ayahnya dan
rindu belaian manja dari seorang ibu. Manakala yang remaja pula akan menjadi
kecewa dan merasakan diri mereka tidak disayangi. Ini mendorong mereka untuk
mencari ketenangan dengan berfoya-foya, merokok dan terdedah dengan pengaruh
yang tidak sihat. Ini boleh mendorong mereka kepada aktiviti sosial yang lebih negatif
seperti ponteng sekolah, bohsia dan dadah. Kurangnya pemantauan dari ibu atau
bapa menyebabkan mereka lebih bebas dan sukar dikawal.
Kurang perhatian dari ibu atau bapa kerana ibu atau bapa yang menjaga mereka terpaksa bekerja
untuk menampung kehidupan. Adakalanya ibu atau bapa terpaksa mencari pekerjaan
sampingan kerana pendapatan yang tidak mencukupi menyebabkan masa mereka untuk
bersama anak-anak menjadi lebih sedikit. Anak-anak ini akan menjadi lebih
terabai dan kurang mendapat kasih sayang dari ibu atau bapa yang menjaganya
menyebabkan anak-anak ini akan cuba mencari keseronokan di luar.
Perceraian
juga membawa beberapa kesan buruk kepada pasangan yang bercerai seperti, merasa
malu dengan masyarakat, terpaksa menanggung cucu jika pasangan yang bercerai
tidak mampu menjaga anak seorang diri dan sebagainya.
Adakah
perceraian ada membawa kesan yang baik? Mungkin juga ada jika kedua dua pihak
tidak dapat menerima antara satu sama lain dan asyik bergaduh setiap kali
bertemu dan boleh menyebabkan tekanan perasaan terhadap pasangan dan anak-anak.
Namun bukankah lebih baik menyelesaikan masalah ini dengan saling bermaafan dan
menerima kekurangan pasangan masing-masing? Kerana tekanan perasaan tetap akan
dilalui oleh anak-anak jika perceraian berlaku. Kekurangan setiap insan boleh
dibaiki kerana tiada apa yang mustahil untuk diubah. Cinta boleh dipupuk,
tanggungjawab pada anak-anak janganlah ditinggalkan.
Perceraian
bukanlah matlamat perkahwinan, ia tidak sepatutnya ada dalam kamus hidup
pasangan suami isteri. Jika hari perkahwinan dirai dengan gilang gemilang,
perceraian sepatutnya menjadi suatu malapetaka yang maha dahsyat dan bukanlah
suatu yang biasa dan mudah.
Sesungguhnya
Allah S.W.T telah berfirman,
“Dan jika
seorang wanita melihat kesalahan suaminya atau telah berpaling hatinya, maka
tiada berdosa keduanya, jika keduanya mengadakan perdamaian antara keduanya.
Berdamai itulah terlebih baik daripada bercerai. Memang manusia itu bersifat
kikir. Jika kamu berbuat baik kepada isterimu dan bertaqwa, sungguh Allah Maha
Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan.” (Surah An-Nisa´: 128)
Renugkanlah…
No comments:
Post a Comment